Posted on Ogos 13, 2009 by syahrilkadir
Vokalis kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi tadi akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Bangsar.
Menurut salah seorang anggota Rabbani, Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, arwah jatuh pengsan semasa memberikan ucapan dalam sidang media program ‘Syahadah’ di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Sekarang, jenazah sedang dimandikan dan dikafankan di hospital itu sebelum dibawa ke rumah arwah di Jalan Ikan Keli, Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam untuk dikebumikan sebelum Asar.
sementara itu sahabat aku, Ustaz Abdullah yang menziarahi arwah di hospital sebentar tadi sempat berkongsi pengalamannya ketika menatap wajah allahyarham
” Saya melihat sesosok tubuh yang baring telah siap dikafankan. Kain putih yang bersih dengan tangan yang diletakakan dibadan.
Saya menatap wajah sahabat saya ini. Wajahnya bersih, tersenyum. Saya membacakan fatihah kepadanya. Perlahan-lahan saya menghampiri jenazahnya, saya cium dahinya yang bersih ini. Biasanya dahi ini akan ditemankan dengan kopiah beliau.
Saya menghampiri telinga beliau, saya bisikan.
“aku saksikan, bahawa engkau telah banyak berjuang untuk agama”
Tiba-tiba saya menjadi sebak. Pada ketika itu air mata saya berlinang. Saya cuba menahannya tetapi saya tidak mampu. Saya menundukkan kepala saya, mengesat air mata yang mengalir di kelopak.
Saya cium dahinya untuk kali kedua. Kali ini saya pegang bahu beliau, saya ucapakan lagi padanya:-
“sahabat, selamat berehat”, “